Ahmad Faiz Yazid Raih Anugerah Pelajaran Diraja Pada Konvokesyen UM Ke-65

KUALA LUMPUR — Universiti Malaya (UM) sekali lagi meraikan kecemerlangan mahasiswa apabila Ahmad Faiz Yazid, graduan Sarjana Muda Ekonomi dari Fakulti Perniagaan dan Ekonomi (FPE), diumumkan sebagai salah satu penerima Anugerah Pelajaran Diraja (APD) pada Istiadat Konvokesyen UM Ke-65.
Anak kelahiran Kota Bharu ini merupakan penerima Biasiswa Yayasan Khazanah Watan dan berjaya menamatkan pengajian dengan pencapaian akademik cemerlang. Selain itu, beliau aktif melibatkan diri dalam kegiatan kesukarelawanan dan kepimpinan kampus, antaranya sebagai Ahli Majlis Penasihat Tertinggi Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM) dan Pemudahcara Mahasiswa Sentral.
“Sebagai pelajar, kita memang akan ‘juggle’ banyak perkara. Sebab itu perancangan sangat penting - jika gagal merancang, kita merancang untuk gagal.” ujar Faiz ketika ditemui selepas sesi penganugerahan.
Beliau turut menegaskan bahawa sokongan warga universiti banyak membantu kejayaannya. “Sokongan staf, pihak pengurusan fakulti dan pengurusan universiti memberikan lonjakan besar kepada setiap aktiviti yang kami laksanakan.”
Faiz kini bersedia untuk memulakan kerjayanya sebagai Penganalisis Pelaburan di Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), sebagai sebahagian daripada komitmen perkhidmatan penerima biasiswa.
Menyentuh tentang asas kekuatan peribadinya, Faiz menzahirkan penghargaan: “Kejayaan saya hari ini juga terselit doa kawan-kawan yang dimakbulkan Tuhan. Semoga semua terus berjaya dan menghargai setiap bakat yang ada.”
Anugerah Pelajaran Diraja merupakan pengiktirafan tertinggi yang diberikan kepada graduan tahun akhir yang menunjukkan kecemerlangan menyeluruh dalam akademik, kepimpinan, kokurikulum, dan khidmat masyarakat. Pada tahun ini, Faiz dan Daniswaran a/l Seenivasan, graduan Sarjana Muda Sains Statistik dari Fakulti Sains terpilih sebagai penerima anugerah berprestij tersebut, daripada jumlah keseluruhan 11,356 graduan yang diraikan sepanjang konvokesyen.
.png)